Keratan Akhbar Utusan Borneo : Jumaat, 1 April 2022
KOTA KINABALU : Kolej Universiti Borneo Utara (KUBU) atau lebih dikenali North Borneo University College (NBUC) dan Geomatika College Keningau (GCK) yang bernaung di bawah Kumpulan Pendidikan Geomatika (Geomatika Edu Group) mengadakan majlis Konvokesyen kali-3 Tahun 2022 di sini baru-baru ini.
'Shaping25: Imagining Education-Talent Tranformation' yang menjadi tema konvokesyen kali ini melakarkan hala tuju NBUC dan GCK untuk terus kekal cemerlang di masa hadapan. Seiring Industri Transformasi Pendidikan Tinggi 2015-2025, NBUC-GCK mencipta nilai baru dalam landskap pendidikan.
Pengukuhan program berteaskan sains, teknologi dan kejuruteraan serta pemerkasaan Sistem Pendidikan Teknikal & Latihan (TVET) adalah langkah yang amat wajar diberi penekanan. Ini kerana bidang ini dapat membantu Sabah dalam melahirkan bakat dan kemahiran ke arah pembentukan teknologi fasa baru. Presiden merangkap Pro Canselor NBUC, Datuk Prof. Datuk Sr. Dr. Mohaizi Mohamad berkata NBUC dan GCK akan bergerak seiring perkembangan industri digital dan Rancangan Malaysia Ke-12.
Katanya, ia melibatkan pengaplikasian teknologi, robot automasi, metaverse, analisis data maya, teknologi drone, Artificial Intelligence (AI) dan pendekatan humanistik dalam pelaksanaan tugas seharian. Justeru katanya, NBUC dan GCK akan menambah baik serta memberi nilai tambah di dalam setiap program pengajian yang ditawarkan kepada pelajar bagi memenuhi kehendak pasaran sejajar dengan hasrat kerajaan.
NBUC kini memiliki 5 fakulti dan satu institusi kemahiran dengan kapasiti 1,334 pelajar tempatan dan 830 pelajar antarabangsa. Empat lagi fakulti dibangunkan pada masa terdekat bagi memenuhi keperluan pasaran kerja di Sabah. Seramai 1,342 graduan bergraduasi beserta dua orang penerima Honorary Professor Adjunct Award, seorang penerima Professorship Award, Seorang penerima Honorary Doctorate Award serta tiga penerima Associate Professorship Award. Ia disampaikan oleh Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah Tan Sri R.M Jasni selaku Canselor North Borneo University College. (Sumber: Utusan Borneo, Jumaat-1 April 2022).